Skip to main content

Featured

TEORI PENGKAEDAHAN MELAYU DALAM DRAMA GELANGGANG TUK WALI KARYA ISMAIL KASSAN


PENGENALAN

Kritikan sastera merupakan disiplin ilmu untuk menilai teks sastera secara khusus. Menurut Hashim Awang (1997), kritikan kesusasteraan merupakan suatu usaha untuk menilai hasil-hasil ciptaan seseorang sasterawan atau penulis sastera dengan beralas serta bersistem dan bertujuan untuk mengembangkan sesuatu yang difikirkan baik lagi indah. Tujuan kritikan sastera ini adalah sebagai suatu kegiatan untuk membuat penilaian, pertimbangan dan penganalisisan terhadap sesebuah karya melalui proses pembacaan, pengamatan dan perbandingan menggunakan teori ataupun pendekatan.
Karya sastera selalunya dikaitkan dengan keindahan gaya bahasa. Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), antaranya mentakrifkan kesusasteraan sebagai seni yang memaparkan keindahan  dengan bahasa. Perkembangan dunia sastera memperlihatkan bahawa bidang ini bukanlah bahan hiburan sahaja, malah mengutarakan permasalahan dan persoalan kehidupan serta membijaksanakan pemikiran manusia. Hal ini selaras dengan kenyataan Othman Puteh (1998) bahawa karya sastera tidak sahaja mempunyai muatan keseronokan untuk tuntutan emosi tetapi juga berguna bagi melahirkan kebaikan moral dan intelektual. Dalam dekad 90-an ialah percubaan memperkembang penggunaan teori dan pendekatan seperti estetika, intertek, semiotik dan kelahiran teori tempatan seperti takmilah, teksdealisme, dan pengkaedahan Melayu telah mula memperlihatkan bibit-bibit perkembangannya dalam sastera Melayu.


APA ITU TEORI PENGKAEDAHAN MELAYU?

FOTO 1: HASHIM AWANG

Teori Pengkaedahan Melayu yang digagaskan oleh Hashim Awang merupakan anak kelahiran Terengganu pada tahun 1937. Teori Pengkaedahan Melayu dibentangkan Hashim Awang buat pertama kalinya di Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1989. Teori ini tercetus atas kesedaran terdapatnya beberapa kelemahan teori Barat apabila menganalisis karya Melayu. Menurut Hashim Awang (2002), Teori  Pengkaedahan Melayu termasuk ke dalam golongan yang dikenali sebagai grounded theory atau ā€˜teori beralas/ berlandas’ yang terbentuk dari hasil penyelidikan bersifat kualitatif, iaitu di dalamnya terkandung rumusan atau formula yang berupa prinsip-prinsip umum tentang karya atau teks sastera dan amalan-amalan yang berkaitan dengan kesusasteraan Melayu. Pengkajian dan pengkaedahan tertentu terhadap sastera Melayu sememangnya wujud tetapi ia memiliki kelemahan-kelemahan memandangkan pemakaiannya yang tidak sepenuhnya asli, sesuai, mantap dan kukuh. Hampir semua pengkaedahan yang dipakai adalah hasil peniruan sepenuhnya dari Barat, oleh itu perlu ada saringan dan pembatasan bagi mengekalkan keperibadian sendiri memandangkan masyarakat Melayu mempunyai nilai-nilai masyarakat yang berbeza daripada Barat (Sahlan Mohd Saman, 1999: 52).
Dalam  masyarakat  Melayu  Islam  orang-orang  yang  dianggap  mempunyai  nilai  etika, moral dan akhlak yang tinggi dan  dipandang mulia oleh masyarakat  dinamakan sebagai orang yang ā€˜budiman’  yang  mempunyai tiga sifat utama. Pertama, budi pekerti dan adab sopan  yang  mulia. Kedua, budi  bahasa dan  budi  bicara  yang  bernas. Ketiga, hati  budi  yang tinggi, akal fikiran dan hati kalbu yang sarat dengan ilmu, kebijaksanaan, dan kebaikan. (Hashim Hj. Musa, Normahdiah Sheik Said, Rozita Che Rodi, Siti Sarah Ab Karim, 2002)
Melalui kepekaan tersebut tercetuslah hasil-hasil karya sastera dan seni yang halus dan indah. Oleh yang demikian, sastera Melayu perlu dikaji dengan pengkaedahan sendiri supaya sifat dan ciri-cirinya tidak hilang. Pengkaedahan Melayu dikemukakan berdasarkan cara dan sikap hidup, kepercayaan dan kebudayaan setempat iaitu masyarakat Melayu yang melahirkan karya-karya tersebut. Maka, Hashim Awang (2002) telah membina dan membahagikan Teori Pengkaedahan Melayu  kepada dua pengkaedahan iaitu alamiah dan keagamaan. Setiap pengkaedahan tersebut dibahagikan pula kepada beberapa  pendekatan.
Pengkaedahan alamiah berteraskan kepada cara hidup dan sikap masyarakat Melayu yang menjadikan alam sebagai sebahagian daripada diri dan kehidupan. Pengkaedahan ini dapat dipecahkan kepada tiga pendekatan iaitu pendekatan gunaan, pendekatan moral dan pedekatan firasat. Pendekatan gunaan berdasarkan kepada anggapan bahawa sastera merupakan salah satu daripada objek alam, iaitu objek daripada ciptaan manusia. Zurinah Hassan (2010) menjelaskan bahawa kejadiannya  atau ciptaannya itu mempunyai sebab, hikmah, fungsi tujuan, serta ukuran dan imbangannya. Manakala, pendekatan moral menyatakan sastera mengandungi pengalaman hidup yang dapat memberi pengajaran kerana sastera mempunyai pelbagai ilmu pengetahuan. Pengalaman tersebut meliputi peristiwa yang dilalui oleh manusia dan maklumat berkaitan dengan manusia serta suasana persekitaran mereka. Seterusnya, pendekatan firasat yang dikaitkan dengan  mimpi  iaitu  kejadian  alam  yang  mempunyai  makna  atau  pengertian  yang  penemuannya  dapat dilakukan  menerusi  takbir  atau  tafsiran.
Pengkaedahan keagamaan pula berdasarkan kepada keimanan yang bersendikan akidah Islam yang bersumberkan Al-Quran dan al-Hadis. Tujuan pengkaedahan ini adalah untuk memperlihatkan kebesaran Allah melalui sastera supaya dapat mempertingkatkan ketakwaan kepada-Nya. Pengkaedahan ini juga dipecahkan kepada tiga pendekatan iaitu pendekatan dakwah, pendekatan masyarakat dan pendekatan seni. Pendekatan dakwah melihat sastera sebagai wadah untuk mempertingkatkan ketakwaan manusia kepada pencipta-Nya serta mengukuhkan keimanan dengan memaparkan sifat-sifat kesucian dan kemurniaan agama Islam. Pendekatan masyarakat pula menganggap sastera sebagai alat pendedahan segala persoalan yang berlaku dalam kalangan masyarakat yang bertujuan untuk mencari kebaikan dan keadilan dalam masyarakat. Pendekatan seni pula memfokuskan unsur-unsur keindahan sastera yang berlandaskan Al-Quran dan al-Hadis.


PENGAPLIKASIAN TEORI DALAM ANALISIS DRAMA GELANGGANG TUK WALI

Masyarakat melayu sentiasa dikaitkan dengan nilai murni dalam kehidupan sehari-hari. Moral membawa erti akhlak, budi pekerti, kelakuan, tabiat watak dan perangai. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, moral ialah ajaran atau pegangan bukan buruk baik sesuatu perbuatan (kelakuan, akhlak, kewajipan dan lain-lain); yang berkaitan dengan apa yang betul atau adil. Seseorang yang berpegang pada pandangan yang tertentu akan mempengaruhi cara fikiran dan hidupnya dan seterusnya melahirkan insan yang berbeza dari aspek kemoralan.
            Pengkaji memfokuskan pendekatan moral dalam Teori Pengkaedahan Melayu untuk menganalisis aspek nilai-nilai murni menerusi skrip drama Gelanggang Tuk Wali karya Ismail Kassan. Pendekatan ini dipilih kerana watak-watak yang dilukiskan pengarang sangat memberi kesan pembaca. Dalam hal pertama terserlah pelbagai ragam dan perlakuan manusia yang dapat dialami untuk dinilai aspek-aspek positif dan negatifnya bagi maksud dijadikan cermin perbandingan atau contoh tauladan yang baik. Manakala hal kedua memperlihatkan bahawa sastera mampu menyediakan dirinya dengan pelbagai disiplin ilmu dan pengetahuan.





RUJUKAN



Hashim Awang. 2002. Teori Pengkaedahan Melayu dan Prinsip Penerapannya. Bengkel
             Teori Sastera, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur di Riviera Bay
             Resort, Melaka pada 28-29 Jun.

Hashim Hj. Musa, Normahdiah Sheik Said, Rozita Che Rodi, Siti Sarah Ab Karim. 2002.         
             Hati Budi Melayu: Kajian Keperibadian Sosial Melayu ke arah Penjanaan
             Melayu Gemilang. Journal of Language Studies: Bil. 12(1)

Kamus Dewan Edisi Keempat. 2010. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Othman Puteh. 1998. Tanggapan terhadap Kesusasteraan Remaja. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
            dan Pustaka.

Sahlan Mohd. Saman. 1999. Tokoh dan Kecenderungan Kritikan Sastera Mutakhir.    
            Selangor: Persatuan Penulis Selangor.


Zurinah Hassan. 2010. Unsur Alam dalam Puisi Melayu Moden. Bangi: Penerbit
            Universiti Kebangsaan Malaysia.


Comments

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Penulisan yang lengkap, namun, analisis yang ada terlalu ringkas. Dapatan pembacaan saya melihatkan kurang perkaitan antara pendekatan moral yang kamu pilih itu dengan analisis watak dan tema.

    Mohon beri perhatian lebih kepada pendekatan moral dalam menganalisis watak utama dan juga tema yang mendasari teks.

    ReplyDelete

Post a Comment